Thursday, July 21, 2016

Rahsia Sujud



" Berdoalah di dalam sujud dalam solat yang khusus seperti solat hajat, tahajjud, istikharah dan sebagainya dan jangan bangun daripada sujud sehingga kamu dapat apa yang kamu nak daripada Allah سبحانه وتعالى.

Mintalah apa apa sahaja daripada Hadrah Allah سبحانه وتعالى khususnya di dalam sujud. Sepertimana Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم, maka berdoalah di dalam sujud mu. Diantara doa Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam sujudnya ialah,

يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك، يا مصرف القلوب صرف قلبي على طاعتك. ربغفرلي ورحمني وتب على
( Ya muqollibal Qulub thabbit qolbi 'ala dinik, ya musorrifal qulub sorrif qolbi 'ala too'atik. Robbighfirli warhamni watub 'alaiy). 
Wahai Pemilik hati tetapkan hatiku atas Agama Mu, Wahai Yang Membolak balikkan hati jadikan hatiku untuk mentaati perintah Mu. Ampunilah dosaku, Rahmatilah aku  dan Terimalah Taubatku.

Ambillah kesempatan daripada setiap sujudmu. Kerana berdoa di dalam sujud itu Sunnah Muakkad, sunnah yang tidak pernah Rasulullah صلى الله عليه وسلم tinggalkannya. Ini sujud Zahir. Tetapi ada lagi satu sujud yang lagi tinggi darjatnya daripada sujud zahir ini. 

Tidak ada sesiapa yang bersujud dengan sujud itu melainkan orang yang dekat dengan Allah سبحانه وتعالى iaitu Sujudul Qolb, Sujud Hati. Allah سبحانه وتعالى Berfirman di dalam Al Quran, فسجد وقترب ( Maka sujudlah dan dekatlah dengan Tuhan mu). Macam mana kita nak dekat dengan Allah سبحانه وتعالى? Dengan Hati.

Guru kita Habib Umar Bin Hafidz حفظه الله تعالى berkata, kalau hati seseorang itu sudah sujud kepada Allah, dia taknak, tak boleh dan tak mampu untuk bangun daripada sujudnya itu. Hatinya kalau sudah sujud kepada Allah سبحانه وتعالى, maka dia akan sujud sehingga dia wafat.

Bila kerja hatinya sujud, bila masak hatinya sujud, kena marah hatinya masih sujud, di dalam tidurnya juga hatinya sujud dan dia tidak akan bangun daripada sujud itu sehingga dia bertemu dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Inilah mereka yang betul betul merasakan kelazatan dan kemanisan di dalam sujud.

Seakan akan mereka telah masuk ke satu tempat yang sangat sangat mewah dan apa apa sahaja yang mereka inginkan telah sedia ada di dalamnya. Begitulah umpama mereka berada di dalam Hadrah Allah سبحانه وتعالى. Bagaimana kita nak dapatkan sujud hati ini? Setelah hati kita sudah suci dan bersih daripada sifat yang tidak baik, akhlaq yang tidak baik, muamalah yang tidak baik, ujub, iri hati, riak, dengki dan sebagainya.

Jika sifat buruk ini masih bersarang di dalam diri seorang, maka susah untuk dia bersujud. Ujub, iri hati dan perkara yang tidak baik ini ibarat Dinding. Bagaimana dia nak sujud kalau dia sangat dekat dengan dinding itu? Jauhlah diri mu daripada dinding itu agar mampu untuk kamu bersujud. Jauhlah diri mu daripada sifat yang tidak baik dan sujudlah dengan hati.

Kerana perkara yang tidak baik ini menyebabkan Allah سبحانه وتعالى tidak memberi ruang kepada hati seorang untuk bersujud. Jadilah sepertimana mereka yang tidur di atas tilam tetapi hakikatnya Ruh mereka berada dibawah 'Arasy Allah سبحانه وتعالى. Macam mana nak jadi seperti mereka? 

Dengarlah Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Kalau seorang nak masuk tidur, disunnahkan untuk dia berwudhuk sebelum tidur. Maknanya tidurlah dia atas wudhuk dalam keadaan suci. Bagaimana Ya Rasulullah, sedangkan tidur itu membatalkan wudhuk? Lihatlah rahsianya. 

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, kalau seseorang itu tidur dalam keadaan berwudhuk, bila dia sudah tidur, ruh nya akan keluar daripada jasadnya dan akan naik ke 'Arasy Allah سبحانه وتعالى dan ruhnya bersujud di bawah 'Arasy Allah sehinggalah tuannya bangun daripada tidur. Inilah sujud hati. Badannya atas tilam, tetapi ruhnya bersujud di bawah 'Arasy Allah سبحانه وتعالى. 

Inilah satu satunya tidur kita, tidur yang mengikut Sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang mendapat izin untuk bersujud dibawah 'Arasy Allah سبحانه وتعالى. Mereka yang sudah merasai sujud hati ini, mereka tidak nampak apa apa melainkan Allah sahaja. Sepertimana kita sujud dengan kepala kita, kita tidak nampak sesiapa yang lalu lalang depan kita. Inilah Hakikat sujud. 

Pernah satu hari Habib Umar Bin Hafidz حفظه الله تعالى menyebut nama seorang untuk anak muridnya ziarah orang itu, nama orang yang Habib Umar sebut itu adalah orang yang sentiasa menyakiti hati Habib Umar, sehingga orang ini terbitkan sebuah buku dan di dalamnya bercakap buruk tentang Habib Umar dan Habaib, sampai sekarang masih ada lagi. Tetapi Habib Umar tetap menyuruh anak muridnya untuk ziarah orang itu.

Tiba tiba anak muridnya kata, Habib orang itu tidak baik tidak perlu ziarahnya. Terus Habib Umar marah dan pandang betul betul ke dalam mata anak muridnya itu dan berkata, Apa ini? kamu yang tidak baik, keluarlah kamu tidak layak duduk dengan kami disini, apakah urusan kamu? baik ke tidak baik ke ini semua urusan Allah, apa yang sudah kurang atas diri kita, biarlah dia nak tulis buruk tentang kita, Allah yang akan hisab dia.

Jagalah hati kamu, nak apa daripada manusia, bagaimana keadaan kamu? macam mana hati kamu dengan Allah? kalau hati kamu sujud, kamu tidak akan nampak apa apa , baik dan buruknya kamu tidak nampak. Biarkan dia, dia tidak akan kurangkan satu hari daripada umur kita, dia tidak akan mampu kurangkan satu anggota daripada anggota badan kita, dia juga tidak boleh kurangkan seringgit daripada rezeki kita.

Biarkan dia nak cakap apa apa pasal kita, dia berkata buruk tentang saya, Alhamdulillah hari ini anggota saya masih sempurna tidak ada apa apa, dan saya sudah maafkan dia.

Inilah sujud hati. Habib tidak nampak apa apa melainkan yang baik sahaja. Semoga kita semua tergolong dikalangan orang yang sujud hatinya."

- Murobbi Ruuhi Sheikh Abdullah Bin Muhammad Bin Salim Al Jahaf حفظه الله تعالى -

No comments:

Post a Comment