Saturday, February 13, 2016

JANGAN PERNAH KITA MERASA PENAT, BOSAN DAN JEMU UNTUK MENCARI ILMU,

JANGAN PERNAH KITA MERASA PENAT, BOSAN DAN JEMU UNTUK
MENCARI ILMU, MENGHADIRI MAJLIS-MAJLIS ILMU DIKERANAKAN MAJLIS SEUMPAMA INI MENDATANGKAN FAEDAH YANG SANGAT BESAR SEKALI KEPADA MEREKA YANG MENCARI DAN SANGAT INGINKAN RAHMAT DAN KEREDHAAN ALLAH TA'ALA

MARI KITA ISTIQOMAH MENGHADIRI MAJLIS ILMU, DEKATKAN DIRI DENGAN PARA ULAMA DAN SOLIHIN. PELAJARI ILMU MENGENAI SEJARAH DAN SIRAH AKHLAK BAGINDA RASULULLAH ﷺ UNTUK KITA MENGENAL DAN MENCONTOHI KEPADA INSAN YANG AGUNG INI.

IKHLASKAN DIRIMU DALAM MENUNTUT ILMU, BETULKAN NIAT-NIATMU TATKALA MENGHADIRI MAJLIS ILMU DAN HENDAKLAH KAMU MENJADI ORANG YANG MENDENGAR ILMU DAN MENGAMALKAN ILMU YANG KAMU PEROLEHI ITU.

JANGAN KAMU MENJADI ORANG YANG RUGI IAITU ORANG YANG BELAJAR ILMU, MENGHADIRI MAJLIS ILMU, DENGAR ILMU TAPI DIRINYA TIDAK MENGAMALKAN AKAN APA YANG DIA PELAJARI

Hari ini ada orang yang tidak dapat membezakan di antara yang manakah yang haq dan yang manakah yang batil sehingga mereka berani untuk mengatakan apa sahaja, meletakkan larangan-larangan untuk menganjurkan kebaikan oleh orang yang jahil. Yang mana  mereka tidak dapat membezakan yang manakah yang buruk dan yang manakah yang baik.

Ketahuilah apa sahaja yang dilakukan oleh Para Ulama kita itu semuanya berlandaskan, merujuk kepada nas dan dalil. Yang mana sudah pastilah ianya mengikut syarak yang ditetapkan di dalam Agama. Diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam hadisnya "Ketika mana Baginda Rasulullah ﷺ sedang duduk di biliknya.

Kemudian setelah itu Baginda Rasulullah ﷺ keluar dari biliknya melihat ketika itu Para Sahabat yang sedang berkumpul, membuat halaqah maka Nabi ﷺ menghampiri kepada mereka dan Baginda Rasulullah ﷺ
bertanya "Apa yang kalian lakukan?" Mereka mengatakan "Kami berzikir kepada Allah, kami berselawat kepadamu Ya Rasulullah tidak lain adalah kerana kami bersyukur dengan nikmat Islam dan nikmat Iman yang diberikan oleh Allah  سبحانه  وتعالى dan bersyukur kerana kami dikurniakan Engkau sebagai Nabi kami".

Kata Baginda Rasulullah ﷺ "Demi Allah. Adakah betul itu yang sebab kamu duduk-duduk bagi lakukan ini?" Kata Para Sahabat "Demi Allah. Tidak akan kami duduk-duduk kerana itu Ya Rasulullah."

Lalu Baginda Rasulullah ﷺ mengatakan "Tidaklah aku itu menyuruh kamu untuk bersumpah dan bertanya dengan pertanyaan seperti itu untuk menuduh kamu berbuat yang bukan-bukan. Akan tetapi bahawasanya sebentar tadi Jibril عليه السلام datang kepada aku dan menyampaikan sesungguhnya Allah sedang banggakan kalian di hadapan Para Malaikat-Nya."

Oleh kerana itu maka keluarlah daripada hukum-hukum dan pendapat bolehnya untuk kita berkumpul mengadakan majlis seumpama ini yang mana kita mengenang kepada insan yang cukup agung, insan yang banyak berjasa kepada kita.

Yang kalau tidak tanpa Baginda Rasulullah ﷺ maka sudah tentu tiadanya orang yang menjadi orang Islam. Yang kalau tidak tanpa Baginda Rasulullah ﷺ sudah tentu kita tidak dapat mengenal kepada Allah Ta'ala. Kita tidak akan tahu apakah itu Syurga dan apakah itu Neraka. Kalau tidak kerana Baginda Rasulullah ﷺ sudah tentulah kehidupan manusia itu seperti binatang-binatang.

Dan disebabkan keberkatan Baginda Rasulullah ﷺ maka kita menjadi sebaik-baik Ummat untuk mendapatkan kemuliaan yang tinggi daripada Allah سبحانه  وتعالى Kita menjadi sebaik-baik Ummat yang telah dipilih dikeranakan berkat Baginda Rasulullah ﷺ.

#MutiaraKata[AL-MUHADDITH AL-ALLAMAH SYEIKH DR.MOHAMED IBRAHIM ABDUL BAITH AL-KATTANI AL-HASANI HAFIDZOHULLAH Yang Diterjemahkan oleh AL-HABIB NAJMUDDIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

Antara pesanan Al-Muhaddith Al-Allamah Al-Syeikh Dr. Mohammed Ibrahim Abdul Baith Al-Kattani Hafidzohullah ketika hadir di Majlis Talim Darul Murtadza pada tahun 2014. Beliau mewasiatkan kepada kita semua 2 perkara :

1)Perkara pertama adalah hendaklah kita semua bersemangat untuk mencari ilmu yang bermanfaat dan berpegang teguh pada Para Ulama dan mengikhlaskan diri mencari ilmu dan menjadikan ilmu itu adalah tujuan dan bukan di perantara ataupun bukan mempunyai tujuan lain selain daripada memperkayakan diri dengan ilmu.

Bukan dengan ilmu kita pandai dalam berdialog bukan dengan ilmu kita mempunyai tujuan-tujuan selain daripada matlamat sebenar ilmu tersebut iaitu untuk kita mengamalkannya mendekatkan diri kita kepada Allah سبحانه  وتعالى
    
Sepertimana yang dikatakan bahawasanya ilmu tanpa amal adalah umpama perantara tanpa tujuan. Ada perantara tapi tak ada tujuan. Orang belajar ilmu tanpa amal ataupun amal tanpa ilmu adalah jenayah. Orang yang beramal tanpa ilmu maka orang itu adalah melakukan satu jenayah. Imam Al-Ghazali Rahimahullahu' Taala mengatakan "Ilmu tanpa amal adalah tidak waras atau gila. Adapun amal tanpa ilmu adalah tidak boleh. Jadi ianya mesti kedua-duanya diiringi dengan ilmu dan juga amal." Ingatlah asas kepada amal adalah Ilmu.

2)Perkara kedua adalah Syeikh berpesan supaya kita berusaha lebih untuk memperkayakan diri dengan ilmu. Menguasai akan ilmu. Bagaimanakah caranya? Caranya itu adalah dengan kita belajar bahasa Arab kerana itu adalah sebab utama untuk memperkaya diri kita dengan ilmu yang bermanfaat kerana bahasa Arab adalah bahasa Al-Quran.

#MutiaraKata[AL-MUHADDITH AL-ALLAMAH AL-SYEIKH DR.MOHAMMED IBRAHIM ABDUL BAITH AL-KATTANI AL-HASANI HAFIDZOHULLAH Yang Diterjemahkan oleh AL-HABIB ALI ZAENAL ABIDIN ABU BAKAR AL-HAMID HAFIDZOHULLAH]

Disebutkan di dalam hadis Imam Muslim dan Imam Bukhari di dalam kitab hadisnya dari Saidina Abu Hurairah Radhiyallahu'Anhu bahawasanya Nabi ﷺ bersabda "Sesungguhnya Allah memiliki suatu kelompok Malaikat yang bertebaran di atas muka bumi ini yang mana tugasnya adalah mencari-cari orang yang berzikir. Apabila mereka menemukan sekelompok orang yang berzikir kepada Allah

Maka mereka saling menyeru "Kemarilah kepada apa yang kamu hajatkan." Lalu mereka yakni Para Malaikat mengelilingi, menaungi kepada orang-orang yang berzikir itu dengan sayap-sayap mereka hingga ke langit. Apabila orang itu telah berpisah, selesai daripada majlisnya maka Para Malaikat berpaling dan naik ke langit.

Maka bertanyalah Allah سبحانه  وتعالى kepada Para Malaikat yang hakikatnya Allah sudah mengetahui akan segala-galanya tetapi Allah tetap bertanya kepada Para Malaikat tanda Kekuasaan dan Kebesaran Allah سبحانه  وتعالى

Allah  سبحانه  وتعالى berfirman "Dari manakah kalian semua?" Malaikat berkata "Kami datang dari sekelompok hamba-Mu di bumi. Mereka bertasbih, bertakbir dan bertahlil kepada-Mu." Allah berfirman "Apakah mereka pernah melihat-Ku?" Malaikat berkata "Tidak pernah." Allah سبحانه  وتعالى
 berfirman "Seandainya mereka pernah melihat-Ku?"

Kata Malaikat "Ya Allah. Andai mereka pernah melihat-Mu nescaya mereka akan lebih meningkatkan ibadahnya kepada-Mu, lebih bersemangat memuji-Mu dan lebih banyak bertasbih kepada-Mu." Lalu Allah berfirman lagi "Apa yang mereka pinta pada-Ku?" Malaikat berkata "Mereka meminta Syurga kepada-Mu."

Allah سبحانه  وتعالى berfirman "Apa mereka pernah melihat Syurga?" Kata Malaikat "Tidak pernah Ya Allah." Allah سبحانه  وتعالى berfirman "Bagaimana kalau  mereka pernah melihatnya?" Jawab Malaikat "Andai mereka pernah melihatnya nescaya mereka akan semakin bersemangat terhadapnya, lebih ghairah untuk memintanya dan semakin besar keinginannya untuk memasukinya."

Allah سبحانه  وتعالى berfirman "Dari hal apa mereka minta perlindungan?" Malaikat berkata "Dari Api Neraka-Mu Ya Allah." Allah سبحانه  وتعالى berfirman "Apa mereka pernah melihat Neraka?" Malaikat berkata "Tidak pernah Ya Allah." Allah berfirman "Bagaimana kalau mereka pernah melihat Neraka?"

Malaikat berkata "Kalau mereka pernah melihatnya nescaya mereka akan sekuat tenaga menghindarkan diri darinya." Allah سبحانه  وتعالى berfirman "Wahai Malaikat. Persaksikanlah bahawasanya Aku telah mengampuni mereka." Maka salah satu Malaikat mengatakan "Ya Allah. Di situ ada seseorang yang tidak termasuk ke dalam kelompok mereka.Dia datang semata-mata kerana ada keperluan lain bukan kerana-Mu. Apakah mereka akan diampuni juga?"

Allah سبحانه  وتعالى berfirman "Dia juga termasuk mendapatkan pengampunan-Ku . Mereka  adalah satu kelompok di mana orang yang duduk bersama mereka tidak akan kecewa."

Ya Allah!! Mulianya majlis seumpama ini yang di dalamnya itu ada zikirullah mengingat kepada Allah سبحانه  وتعالى, ada dibacakan ayat Al-Quran,  membicarakan mengenai hukum hakam Allah dan mengenangkan kepada Baginda Rasulullah ﷺ yang disebutkan mengenai sejarah sirah hidup akhlaknya Baginda Rasulullah ﷺ yang terpuji.

Majlis yang sangat dimuliakan dan dibanggakan oleh Penghuni Langit. Oleh kerana itu, kita ini ingin mendapatkan kemuliaan di sisi Allah سبحانه  وتعالى. Salah satu jalannya adalah dengan kita menghadiri majlis ilmu. Kenapa? Kerana dengan kita menghadiri majlis ilmu maka kita akan dapat semakin kenal akan Kebesaran dan Keagungan Allah سبحانه  وتعالى.

Tidaklah kita dapat semua itu melainkan dengan kita beramal didasari dengan ilmu. Ilmu yang akan menyampaikan kita kepada Allah سبحانه  وتعالى. Ilmu yang membuatkan kita semakin rindu dan cinta kepada Allah dan juga kepada Baginda Rasululullah ﷺ.

Tanpa ilmu kita tidak akan mengenal kepada Baginda Rasulullah ﷺ. Hari ini kita lihat banyaknya usaha-usaha yang dilakukan untuk menjauhkan Ummat ini daripada Baginda Rasulullah ﷺ. Diciptakan ikon-ikon yang bukan-bukan sehingga a ramainya orang yang terikut dan dijadikan idola.

Akhirnya minta maaf cakap betapa ramai orang yang tidak mengenali kepada Baginda Rasulullah ﷺ sehingga mereka memandang Nabi ﷺ itu sebagai insan yang biasa, tiada bezanya dengan manusia yang lainnya.

Janganlah kita menjadi seperti Abu Jahal yang memandang Nabi Muhammad ﷺ sebagai seorang insan yang biasa. Yang mana sesungguhnya Abu Jahal itu tidak melihat kepada Baginda Rasulullah ﷺ dengan pandangan yang takzim.

Akan tetapi dia melihat dan memandang Baginda Rasulullah ﷺsebagai anak yatim yang dipelihara oleh Abu Talib dengan pandangan yang hina, merendahkan, diperlekehkan bukannya memandang Nabi ﷺ dengan pandangan yang mulia dan hebat.

Sebaliknya berbeza pandangannya dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu'Anhu yang memandang Baginda Rasulullah ﷺ dengan kemuliaan. Dengan memandang Nabi ﷺ sebagai contoh tauladan. Apa sahaja yang dilakukan dan apa sahaja yang diperkatakan oleh Baginda Rasulullah ﷺ diambil dan dijadikan contoh.

Demikianlah perbezaan pandangan dan penglihatan ini membawa kesan kepada orang yang memandang Baginda Rasulullah ﷺ.

Zaman kita ini ada 2 golongan iaitu

1) Golongan yang memandang Nabi ﷺ dengan kemuliaan, kehebatan, memandang Nabi ﷺ dengan cinta sebagai tauladan dalam kehidupan.

2) Golongan yang kedua adalah golongan yang memandang Nabi ﷺ dengan pandangan kemanusiaan, pandangan kelemahan, pandangan yang merendahkan Baginda Rasulullah ﷺ.

Maka kesan pada orang-orang yang menolak kepada sunnah dan hadis Baginda Rasulullah ﷺ darjatnya sama dengan Abu Jahal kerana memandang Nabi ﷺ dengan pandangan yang merendahkan.

Akan tetapi bagi orang yang memandang Nabi ﷺ dengan kemuliaan hati akan dinaikkan darjatnya, kedudukannya sepertimana  Para Sahabat Rasulullah ﷺ.

Contohnya, melihat bagaimana Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu'Anhu yang asalnya
memandang Nabi ﷺ sebagai anak yatim yang dijaga oleh Abu Talib asalnya sehingga dia ingin membunuh kepada Baginda Rasulullah ﷺ.

Akan tetapi, setelah Saidina Umar menukar pandangannya kepada Rasulullah ﷺ
sebagai kekasihnya, orang yang dicintai dan orang yang dihormatinya. Ketika itu dia menjadi mulia sehingga kata Baginda Rasulullah ﷺ "Saidina Umar itu syaitan pun takut dari bayangannya. Kalau lalu Saidina Umar pada satu lorong maka syaitan akan lalu dilorong yang lain." Naik darjatnya, kemuliaannnya sehinggakan syaitan pun takut kepada Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu'Anhu.

Naik darjatnya, kemuliaannnya sehinggakan syaitan pun takut kepada Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu'Anhu. Yang pada asalnya Saidina Umar ini adalah orang yang paling memusuhi kepada Nabi ﷺ sehingga beliau akan menyekat dakwahnya Baginda Rasulullah ﷺ.

Akan tetapi setelah beliau mula mengenali kepada Baginda Rasulullah ﷺ, selalu bersama Baginda Rasulullah ﷺ, melihatkan akan keindahan akhlaknya Baginda Rasulullah ﷺ akhirnya tiada manusia yang beliau lebih kasihi melebihi kasih sayang, cintanya kepada Baginda Rasulullah ﷺ.

Ini adalah kesan tatkala seseorang itu betul-betul dapat mengenal kepada insan agung, insan yang dimuliakan oleh Allah Ta'ala iaitu Baginda Rasulullah ﷺ maka percaya dan yakinlah bahawa tidak kira sesiapa pun hatta kepada ahli maksiat sekalipun.

Apabila dia dapat mengenali akan keistimewaannya Baginda Rasulullah ﷺ, keindahan akhlak Baginda Rasulullah ﷺ maka pasti dia akan jatuh cinta dan pasti akan mengubah kehidupannya mengikut orang yang ia cintai itu.

Ketahuilah bahawasanya kenalnya kita kepada Baginda Rasulullah ﷺ dan cintanya kita kepada Baginda Rasulullah ﷺ itu akan menyampaikan kita dan melayakkan seseorang itu untuk mendapatkan cintanya Allah dan kenalnya dia kepada Allah.

Oleh kerana itu, marilah kita bersama-sama mengajak diri kita, ahli kerabat kita, sahabat andai kita untuk bersama-sama menghadiri majlis-majlis ilmu, majlis zikir dan majlis-majlis kebaikan yang mana kita inginkan  hadirnya kita dari majlis ke majlis itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kita semakin dekat kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Janganlah kita hadir di majlis seumpama ini hanya sekadar ingin mengambil keberkatan sahaja dan untuk mendengar sahaja. Na'am memang kita inginkan keberkatan majlis tersebut tetapi yang lebih besar dan penting daripada itu adalah bagaimana keadaan kita setelah kita pulang ke rumah kita masing-masing.

Adakah kita ini semakin bertambah baik ataupun sebaliknya? Kita ingin mendapatkan kebaikan yang besar daripada majlis-majlis yang kita hadiri yang mana kita menginginkan kesan yang positif di dalam kehidupan kita.

Sentiasalah kita untuk memperbetulkan niat-niat kita tatkala kita menghadiri majlis-majlis ilmu dan melakukan amal kebaikan. Ilmu yang kita perolehi itu hendaklah kita amalkan dan sampaikan dikeranakan buah hasil kepada ilmu itu adalah adalah amal. Kita beramal dan kita menyampaikan kepada orang lain untuk sama-sama mendapatkan kebaikan.

#MutiaraKata[AL-HABIB NAJMUDDIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]

SEMOGA ALLAH TA'ALA MENGURNIAKAN KEPADA DIRI KITA FUTUH (PEMBUKAAN) UNTUK KITA MENGENAL ALLAH TA'ALA DAN BAGINDA RASULULLAH YANG MANA MUDAH-MUDAHAN DENGAN KERANA ITU KITA AKAN SEMAKIN BERSEMANGAT UNTUK NAK MELAKUKAN AMAL KEBAIKAN, MENCONTOHI AKHLAK MENGIKUTI KEPADA BAGINDA RASULULLAH DAN HATI KITA SEMAKIN RINDU KEPADA ALLAH TA'ALA DAN TAK SABAR-SABAR NAK KEMBALI BERTEMU DENGAN-NYA.

SEMOGA KITA MENJADI ORANG-ORANG YANG SUKA MENDENGAR KATA-KATA NASIHAT PARA ULAMA, MENDAPATKAN ILMU DARIPADA PARA ULAMA, DUDUK DI DALAM MAJLISNYA PARA ULAMA DAN MENGAMALKAN APA YANG KITA DENGARKAN YANG KITA PEROLEHI DARIPADA ILMU YANG DISAMPAIKAN

SETERUSNYA KITA MENYAMPAIKAN KEPADA YANG LAINNYA DENGAN HARAPAN MUDAH-MUDAHAN KITA MENJADI ORANG-ORANG YANG MENJADI ASBAB KEBAIKAN DAN TURUNNYA HIDAYAH DARIPADA ALLAH TA'ALA KEPADA MASYARAKAT SEKELILING KITA

#JomKitaMuhasabahDiri
#JomKitaMenghadiriMajlisIlmu
#JomKitaBeramalDenganIlmu
#JomKitaSebarkanKebaikan
#JomJagaAdabDanAkhlakKita
#JomTingkatkanKetaqwaanKita
#OrangYangMuliaDiSisiAllahAdalahMerekaYangPalingBertaqwa
#JomKitaBersihkanHatiKita
#JomKitaBerzikirDanBerselawat
#JomKitaMengimarahkanRumahAllah
#JomKitaJagaSolatBerjemaah
#JomKitaMenghadiriMajlisIlmu
#UbatBagiHatiAdalahIlmu
#JomKitaDekatkanDiriDenganParaUlamaDanSolihin
#MengambilIlmuSecaraBersanadBertalaqqiMendapatkanIlmuYangBarokahYangBermanfaat
#MaafAdaPenambahanPenguranganPerubahanDanKesilapanAyatDalamPenulisan
#JomKitaSalingIngatMengingatkan
#SemogaMendatangkanManfaatKepadaSemuaYangMembacanya

No comments:

Post a Comment