Friday, February 12, 2016

TUNTUTLAH ILMU AGAMA,HADIRI MAJLIS-MAJLIS ILMU D

TUNTUTLAH ILMU AGAMA,HADIRI MAJLIS-MAJLIS ILMU DAN BERAMAL DENGAN ILMU NESCAYA ALLAH TAALA AKAN PERMUDAHKAN
BAGINYA JALAN MENUJU KE SYURGA

Baginda Nabi ﷺ bersabda "Barangsiapa yang menempuh suatu jalan bertujuan untuk mencari ilmu agama maka dengan perjalannya dia untuk menuntut ilmu ke suatu tempat, Allah Taala akan permudahkan baginya jalan menuju ke Syurga."

Jika ditanya kepada setiap orang. Adakah mereka ingin masuk ke Syurga ataupun ke Neraka? Jawapannya pasti tidak ada seorang pun yang akan berkata ingin masuk ke dalam Neraka. Semuanya ingin dimasukkan ke dalam Syurga.

Sepertimana yang dikatakan oleh Al-Imam Habib Abdullah Alwi Al-Haddad "Tiada satu pun manusia yang dapat masuk ke Syurga melainkan dia melewati 5 fasa masa.

1)Alam Roh

2)Alam Dunia

3)Alam Barzakh

4)Alam Mahsyar

5)Alam Akhirat. Alam di mana manusia akan dikekalkan buat selama-lamanya. Adakah dia termasuk ke dalam Syurga ataupun masuk Neraka Allah.

Maka orang yang menuntut ilmu akan dipermudahkan oleh Allah  سبحانه وتعالى untuk menempuh jalan-jalan yang jauh ini untuk menuju Syurganya Allah. Di mana ketika semasa hidupnya di dunia. Ciri-ciri orang yang akan menjadi Penghuni Syurga ini adalah orang yang taat dan bertaqwa kepada Allah.

Dan orang yang menuntut ilmu akan diiring dan dibawa kepada jalan ketaatan kepada Allah dan juga jalan ketaqwaan kepada Allah yang mana ia akan membawa menuju ke Syurga Allah. Jangan ingat semua orang yang solat itu semuanya adalah orang yang bertaqwa kepada Allah. Tidak!!!! Apatah lagi kalau orang yang tak solat. Tidak semua orang yang solat itu akan mendapat jaminan Syurga.

Di dalam Al-Quran Allah berfirman "Celakalah bagi mereka yakni orang-orang yang solat. Yang mana mereka melaksanakan solat tapi lalai dalam mengingati Allah di dalam solatnya." Sebab apa? Kerana orang yang beramal tanpa didasari dengan ilmu maka tidak akan dinilai di sisi Allah Taala amal ibadahnya. Begitu jugalah dengan ibadah-ibadah yang lainnya.

Imam Hasan Al-Basri Rahimahullah menyebutkan "Setiap solat yang dilakukan oleh seseorang hamba itu yang mana dia tidak khusyuk di dalam solatnya maka ia akan menghantarnya kepada seksa Allah lagi cepat berbanding redha Allah سبحانه وتعالى.

Hal sedemikian tidak akan diketahuinya melainkan seseorang itu mempelajari ilmu agama. Sebab itu orang-orang yang beribadah didasari dengan ilmu maka ibadahnya akan menghantarnya ke jalan menuju Syurga Allah سبحانه وتعالى.

Sebaliknya orang-orang yang beribadah tanpa didasari dengan ilmu (sekadar ikut-ikutan) maka ibadahnya itu bukan menghantarnya ke Syurga tetapi menghantar dia ke Api Neraka Allah سبحانه وتعالى.

Berkata Para Ulama "Barangsiapa yang beribadah tanpa didasari dengan ilmu maka amal ibadahnya tertolak, tidak diterima oleh Allah سبحانه وتعالى. Hanya menjadi sia-sia sahaja." Sepertimana Baginda Nabi ﷺ mengatakan "Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi apa yang dia dapat hanyalah lapar dan dahaga sahaja."

Ketika seseorang itu beribadah didasari dengan ilmu maka dia dapat melaksanakan ibadah tersebut sesuai dengan apa yang diinginkan oleh Allah Taala sehingga kehidupannya semasa di dunia sentiasa diisi dengan ibadah kepada Allah yang mana didasari dengan ilmu agama.

Selepas alam dunia yakni alam barzakh. Setiap manusia pasti akan mengalami kematian. Tiada seorang pun yang akan dapat mengelakkan diri daripada kematian. Sepertimana yang dikatakan oleh Baginda Nabi ﷺ "Sesungguhnya kematian itu terdapat sakaratul maut yang mana sakitnya itu melebihi daripada 70 kali tikaman pedang."

Kalau kita jari kita terhiris dengan pisau itu pun kita sudah terasa sakitnya. Bayangkan ketika mana di saat Sakaratul Maut. Akan tetapi kita melihat ada sebahagian orang yang mana mereka mati dalam keadaan yang begitu mudah seperti tidak merasa sakitnya sakaratul maut ini. Mereka ini adalah mereka yang hidupnya penuh ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah Taala.

Apabila di Alam Barzakh maka setiap orang akan ditanya di soal oleh Malaikat. Pada masa itu tidak ada seorang pun yang boleh menghafal jawapannya dengan menggunakan kebijaksanaan akal fikirannya. Akan tetapi amal perbuatan ia yang akan menolongnya.

Orang-orang sentiasa menuntut ilmu agama dan mengamalkannya maka dia akan dipermudahkan oleh Allah semasa dia menjawab soalan daripada Malaikat Mungkar dan Nangkir sehingga dia ketika di Alam Barzakh mendapatkan rahmat dan nikmat daripada Allah  سبحانه وتعالى.

Begitu juga ketika masuk ke Alam ke-4 iaitu Alam Mahsyar yang mana dihimpunkan semua manusia, jin-jin dan Para Malaikat berbaris pada ketika itu. Disaat itu Allah menurunkan matahari sehingga hampir mendekati manusia hanya satu jengkal di atas kepala manusia. Allah menggambarkan kehebatan Alam Mahsyar ini bagaimana dahsyatnya keadaan pada waktu itu. Di mana semua manusia dan makhluk Allah akan menunggu.

Disebutkan nanti di waktu itu dahsyatnya sehingga ada sebahagian orang yang keringatnya sampai kepada buku lali, ada yang sampai ke lutut dan ada sebahagian orang yang mana tenggelam terus dengan air peluh/keringat yang dirasai pada ketika itu.

Semakin banyak dosa dan kemaksiatan yang dia buat, dia lakukan  kepada Allah maka semakin besar pula apa yang bakal dia hadapi ketika di Padang Mahsyar. Melainkan orang-orang yang dikehendaki oleh Allah.

Baginda Nabi ﷺ menyebutkan "Ada 7 golongan yang Allah akan menaunginya di mana tiada naungan melainkan naungan daripadaNya sehingga dia tidak merasakan panasnya matahari yang sangat-sangat terik pada waktu itu."

Di antaranya adalah seseorang yang hatinya terpaut, terikat dengan Rumah-Rumah Allah yakni Masjid. Apabila ketika di dunia dia selalu istiqomah datang ke Masjid untuk menghadiri majlis-majlis ilmu. Apabila azan berkumandang dia segera menyahut panggilan azan tersebut dengan pergi berjemaah di masjid.

Kata Para Ulama apakah ciri-ciri orang-orang yang betul-betul terpaut hatinya dengan masjid? Dikatakan apabila dia selesai daripada solatnya di dalam masjid. Setelah itu dia pulang ke rumah ataupun meneruskan pekerjaannya melakukan perkara-perkara yang lainnya. Apa yang dia fikirkan adalah bila lagi dia akan pergi ke masjid untuk mendirikan solat. Tidak sabar menunggu waktu solat kerana hatinya berasa seronok berada di dalam Rumah Allah tempat turunnya rahmat Allah mencurah-curah.

Ini adalah salah satu daripada 7 golongan hamba-hamba yang akan mendapat naungan Allah kelak. Janji Baginda Nabi ﷺ adalah orang yang sentiasa menuntut ilmu semasa hidupnya maka Allah akan permudahkan untuk dia jalan menuju ke Syurga.

Maknanya ketika di Alam Mahsyar sebelum dia masuk ke dalam Syurga Allah akan permudahkan urusannya di sana baik ketika dihisab. Di dalam Mizan. Apabila ditimbang amalan perbuatan maka Allah akan permudahkan urusannya. Bilamana dia melewati titian sirat untuk menuju ke Syurga maka Allah akan permudahkan.

Setiap manusia pasti akan melalui titian sirat ini yang mana sifatnya itu jambatan yang terbentang di antara tepi 2 Neraka Jahanam yang mana luasnya lagi kecil dan halus daripada rambut. Lagi tajam daripada pedang. Kemudian dikatakan lagi panjangnya 1 000 tahun mendaki,
1 000 perjalanan mendatar, 1 000 perjalanan menurun. Maknanya 3 000 tahun perjalanannya jauhnya.

Akan tetapi di situ sepertimana yang diberitahu oleh Baginda Nabi ﷺ kepada kita semua iaitu "Ada sebahagian orang yang akan melalui titian sirat tersebut semacam kilat yang menyambar. Apabila dia berpijak terus sampai ke Syurga Allah. Ini paling laju.

Ada sebahagian orang yang melalui titian sirat tersebut semacam angin yang bertiup. Cepat!! Ada sebahagian lagi ada semacam orang yang berlari walaupun berlari memerlukan masa yang lama. Akan tetapi sekiranya dia mendapatkan pertolongan Allah walaupun mereka berlari mngambil masa yang agak panjang yang penting sampai, tak terjatuh terjerumus ke dalam Api Neraka. Ada sebahagian lagi yang berjalan kaki dan ada yang merangkak-rangkak untuk melalui jambatan itu.

Yang kekadang dia terjatuh dan kembali bangkit untuk melaluinya dan ada yang terus terjerumus jatuh ke dalam Api Neraka tidak berjaya melalui titian sirat tersebut. Ini menandakan gambaran amal ibadah seseorang itu ketika di dunia.

Orang-orang yang sentiasa menuntut ilmu agama dan mengamalkannya. Baginda Nabi ﷺ memberikan satu khabar yang gembira bahawa Allah akan permudahkan dia untuk menuju ke Syurga.

Mungkin ketika di Padang Mahsyar itu seseorang itu akan menghadapi mendapat kesulitan. Mungkin amal ibadahnya dengan perbuatan dosanya berimbangan lebih kurang sama berat sehingga ketentuan dia untuk dimasukkan ke dalam Syurga ataupun Neraka.

Pada saat itu Allah mengatakan "Ilmu yang dahulu dia cari maka ilmunya akan memberikan timbangan yang sangat berat sehingga ianya lebih berat daripada dosa-dosanya.

Dan apa-apa pun yang dihadapi oleh seseorang ketika di dunia di mana dia menghabiskan masanya untuk mencari ilmu dan mengamalkan ilmu tersebut maka ianya akan menghantarnya kepada Syurganya Allah سبحانه  وتعالى.
    
#MutiaraKata[AL-FADHIL USTAZ ALI ZAINAL ABIDIN HAFIDZOHULLAH MADRASAH AT-TAZKIYAH]

Marilah kita semua bersama-sama menuntut ilmu, mempelajari ilmu agama. Tidak kira kita ini orang yang muda ke mahupun orang yang sudah lanjut usianya ke maka kita niatkan dalam diri kita masing-masing "Selagi aku masih lagi hidup, Selagi itu aku akan terus menuntut ilmu, menghadiri majlis-majlis ilmu dan mendekatkan diri dengan Para Ulama."

Jangan pernah kita merasa bosan, jemu dan malas untuk menghadiri majlis ilmu dikeranakan terlalu banyak kelebihan, faedah dan manfaat yang disediakan dan dijanjikan oleh Allah سبحانه  وتعالى untuk nak diberikan kepada hamba-Nya yang terpilih itu. Bersyukurlah kita setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat-Nya tatkala Allah سبحانه  وتعالى masih memilih diri kita yang penuh dosa dan kemaksiatan ini untuk terus nak diberikan kebaikan untuk menjadi Tetamu Istimewa Allah menghadiri majlis ilmu dan berada di dalam Rumah Allah tempat yang paling dicintai-Nya.

Sedang kita akui dan kita sedari bahawasanya diri kita ini seringkali lupa, leka dan lalai daripada mengingati kepada-Nya. Kita semua pasti akan mengatakan kita cinta Allah, kita cinta Rasul dan kita ingin kembali ke Negeri Akhirat yang kekal selama-lamanya. Akan tetapi hakikatnya di dalam hati kita ini penuh dengan kecintaan yang bukan-bukan yang sehingga membuatkan hati kita ini terhijab daripada melihat, merasai dan menjiwai akan kebesaran Allah سبحانه  وتعالى dan kita terhalang daripada melakukan amal-amal yang akan mengundang keredhaan Allah.

Yang walaupun mungkin ada di antara kita akan katakan "Saya tahu mengenai perkara sekian. Saya dah tahu dah. Saya dah pernah dengar dah. Saya tahu akan kelebihan fadhilat amalan sekian. Saya tahu sunnah-sunnah ini." Dia ada ilmu, dia mengetahui akan semua itu tapi dikeranakan hati ini yang penuh dengan cinta yang bukan-bukan akhirnya hati ini terhijab dan terhalang untuk beramal dikeranakan hatinya yang sedang berpenyakit, gelap, keras hatta sehingga membawa kepada hati yang mati.

Oleh kerana itu kita ingin menyuburkan kembali cinta kita ini. Kita ingin menghidupkan kembali hati kita ini. Bagaimana caranya? Caranya dengan kita membersihkan hati-hati kita ini dengan kita menghadiri majlis-majlis ilmu, kita selalu bercampur dan bergaul dengan Para Ulama dan orang-orang soleh yang mana tatkala kita bersama mereka maka hati kita ini akan dicuci, dibersihkan dan dihidupkan oleh Allah سبحانه  وتعالى dengan cahaya yang ada pada hati mereka orang-orang yang dekat dengan Allah سبحانه  وتعالى yang mempunyai hubungan secara khusus dengan Allah سبحانه  وتعالى.

Tatapan wajahnya sahaja akan menghidupkan hati kita. Apatah lagi apabila mereka mula menyampaikan mutiara-mutiara ilmu, kata-kata nasihat yang pasti akan membuatkan hati kita kembali bergetar dan sedar seterusnya membuatkan kita mengingati kepada Allah سبحانه  وتعالى

Apabila hati kita ini selalu dihantar untuk nak dibersihkan maka sedikit demi sedikit Allah سبحانه  وتعالى akan memudahkan untuk kita ini kembali menyuburkan cinta kita kepada Allah  سبحانه  وتعالى dan juga kepada Baginda Rasulullah ﷺ dan hati kita akan mula merasakan perasaan rindu dan tak sabar untuk kembali kepada Allah سبحانه  وتعالى.

Kita akan dipermudahkan untuk beramal dan akan dibukakan kepada seseorang itu jalan seluas-luasnya untuk dirinya sampai kepada Allah سبحانه  وتعالى dan mengenal kepada Allah سبحانه  وتعالى dengan apa-apa cara kebaikan sekalipun baik itu perkara yang ibadah seperti zikirnya, bacaan Al-Qurannya, selawatnya, solatnya dan sebagainya hatta kepada perkara-perkara yang harus pun semuanya akan membawanya menjadi ibadah kepada Allah.

Untuk seseorang itu mengenal kepada Allah سبحانه  وتعالى  untuk sampai kepada Allah pertama sekali mestilah dengan ilmu. Yang mana ilmu yang diketahui itu apabila diamalkan maka Allah سبحانه  وتعالى akan mengajarkan kepada dirinya apa yang ia tidak ketahui sehingga dirinya akan mengetahui dirinya adalah hamba dan Allah itu adalah Tuhan kepada hamba. Dia akan selalu merasakan kebesaran Allah سبحانه  وتعالى di dalam dirinya dan akan timbul dan lahirlah perasaan takut dan berharap kepada Allah سبحانه  وتعالى.
    
Oleh itu marilah kita menuntut ilmu. Hadirlah majlis-majlis ilmu dan mengamalkan ilmu yang kita perolehi itu agar supaya kita dapat kembali kepada Allah dengan hati yang aman dan sejahtera seterusnya memudahkan kita untuk menuju ke Syurganya Allah سبحانه  وتعالى.

Dan marilah kita memperbaiki dan mencantikkan lagi ibadah kita khususnya ibadah solat kita dikeranakan di dalam solat ini ada segala-galanya yang kita inginkan. Marilah kita bersungguh-sungguh menjaga ibadah solat fardhu kita dengan kita solat secara berjemaah lagi-lagi waktu subuh dan isyak kerana di antara sifat orang munafik itu disebutkan adalah mereka yang susah dan tak suka solat subuh dan isyak berjemaah.

Jadi kita takut dan tak nak kalau diri kita ini digolongkan bersama dengan golongan munafik kelak. Yang mana mereka ini adalah golongan yang akan kekal selama-lamanya di dalam Api Neraka Allah سبحانه  وتعالى. Oleh kerana itu, marilah kita bersama-sama. Saya mengajak diri saya dan semua saudara-saudara SeIslam untuk kita sama-sama berusaha bersungguh-sungguh untuk kita cuba mendirikan solat fardhu 5 waktu secara berjemaah di masjid ataupun juga surau tidak kira di mana-mana pun kita berada.

Berjemaahlah walaupun sekali sehari untuk permulaan. Setelah itu cuba dipertingkatkan lagi untuk diri kita ini nak sentiasa solat berjemaah di masjid sehinggalah lama-kelamaannya hati kita terikat dengan masjid tak sabar-sabar nak ke masjid setiap harinya. Alangkah ruginya kita ini kalau seandainya kita langsung tiada masa untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid walaupun minimum sekali sehari.

Janganlah kita memberikan alasan mengatakan kita sibuk, kita tiada masa dan sebagainya dikeranakan Allah سبحانه  وتعالى hanya memanggil kita setiap kali 5 kali dalam sehari. Panggilan yang teristimewa yang diserukan kepada kita adalah solat. Kalau seandainya itu pun kita masih lagi berat dan susah untuk melaksanakannya maka alangkah tidak beradabnya kita kepada Allah   سبحانه  وتعالى.

Ibadah solat yang daripada 50 waktu dikurangkan kepada 5 waktu sahaja kepada kita Ummat Nabi Muhammad ﷺ itu adalah suatu kurniaan, nikmat dan anugerah yang sangat besar diberikan oleh Allah kepada kita. Jadi janganlah kita sampai tak nak solat dan mengambil mudah mengenai ibadah solat kita ini dikeranakan perkara pertama yang akan dihisab kelak adalah solat kita.

Macam mana kita nak selamat di sana kalau seandainya ketika hidup kita di dunia ini pun kita masih lagi malas , terasa berat dan tak nak solat. Yang akan meneliti setiap amalan kita itu adalah Yang Maha Teliti. Tidak kira sekecil apa pun dosa yang kita lakukan pasti akan diberikan balasan oleh Allah سبحانه  وتعالى. Begitu juga sekecil apa pun kebaikan yang kita kerjakan. Semua itu pasti akan diteliti dan diberikan ganjaran pahala kebaikan dan azab sesuai dengan kerja yang diusahakannya.

Tuntutlah ilmu, cepat-cepatlah kita mengerjakan amal ketaatan kepada Allah سبحانه  وتعالى. Jangan kita menangguh-nangguh untuk beramal, kita tunggu di saat usia tua kerana kita tidak tahu bilakah masanya kematian akan menjemput kita.

Ingatlah apabila datangnya perasaan malas untuk kita nak menghadiri majlis ilmu dan mengerjakan amal ketaatan maka selalu ingatkan dalam diri kita ini akan ganjaran pahala kebaikan yang akan menyampaikan ke Syurga Allah dan janji-janji Allah akan azab dan seksaan yang disediakan di dalam Api Neraka serta
kematian dan alam-alam yang bakal kita tempuhi kelak agar kita sentiasa bersedia untuk menyediakan bekalan yang secukupnya InshaAllah.

SEMOGA KITA MENJADI ORANG-ORANG YANG SUKA MENDENGAR KATA-KATA NASIHAT PARA ULAMA, MENDAPATKAN ILMU DARIPADA PARA ULAMA, DUDUK DI DALAM MAJLISNYA PARA ULAMA DAN MENGAMALKAN APA YANG KITA DENGARKAN YANG KITA PEROLEHI DARIPADA ILMU YANG DISAMPAIKAN

SETERUSNYA KITA MENYAMPAIKAN KEPADA YANG LAINNYA DENGAN HARAPAN MUDAH-MUDAHAN KITA MENJADI ORANG-ORANG YANG MENJADI ASBAB KEBAIKAN DAN TURUNNYA HIDAYAH DARIPADA ALLAH TA'ALA KEPADA MASYARAKAT SEKELILING KITA

#JomKitaMuhasabahDiri
#HidayahItuMilikAllah
#MahalnyaNilaiImanDanYakin
#BersyukurlahDenganNikmatYangDiberikanAllahKepadaKita
#IkatlahNikmatItuDenganKitaBeramal
#JomTingkatkanKetaqwaanKita
#OrangYangMuliaDiSisiAllahAdalahMerekaYangPalingBertaqwa
#JomHidupkanMalamJumaatDenganIbadah
#MalamJumaatDanHariJumaatAdalahHariYangManaBesarFadhilatnyaRugiKitaTakManfaatkanWaktuIni
#JomKitaBersihkanHatiKita
#JomKitaBerzikirDanBerselawat
#JomKitaMengimarahkanRumahAllah
#JomKitaJagaSolatBerjemaah
#JomKitaMenghadiriMajlisIlmu
#UbatBagiHatiAdalahIlmu
#JomKitaDekatkanDiriDenganParaUlamaDanSolihin
#MaafAdaPenambahanPenguranganPerubahanDanKesilapanAyatDalamPenulisanTidakSamaSepertiYangAsal
#ApaYangBermanfaatItuAmbillah
#YangSalahSilapHarapDimaafkan
#JomKitaSalingIngatMengingatkan
#SemogaMendatangkanManfaatKepadaSemuaYangMembacanya

No comments:

Post a Comment