Wednesday, August 19, 2015

Bagaimana Untuk Tahu Kita Ikhlas Atau Tidak Ikhlas

PERKONGSIAN ILMU PAGI INI (P.I.P.I) - Rabu 4 Zulkaedah 1436H. 
IKHLAS

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Tidak ada sesiapa yang mengatakan tidak ikhlas bila berbuat kebaikan. Semua manusia akan mengatakan ikhlas dengan setiap perbuatannya. Ada orang terang-terang menyebut Saya Ikhlas setiap kali beramal dan ada yang mencatat Yang Ikhlas dalam setiap surat atau emel.

Adakah kita benar-benar ikhlas dalam setiap kebaikan yang kita buat?

PENCERAHAN:

Hakikat yang patut diketahui ialah tidak ada seorang pun yang tahu, siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak ikhlas. Malah kita sendiri pun tidak tahu, kita ini ikhlas atau tidak. 2 malaikat yang mencatat amalan seseorang juga tidak tahu, orang itu ikhlas atau tidak.

Sesungguhnya hanya Allah yang tahu, hamba-Nya ikhlas atau tidak dalam perbuatan mereka.

Bagaimanapun ada caranya untuk tahu kita ini ikhlas atau tidak. Jangan fikirkan keikhlasan orang lain. Periksa keikhlasan kita sendiri. Bagaimana caranya?

Cara menilai keikhlasan

Apa perasaan kita bila budi yang kita tabur tidak dikenang atau dibalas? Apa rasa hati kita bila kebajikan yang kita buat dibalas dengan kejahatan? Perasaan yang timbul itulah penentu mudah untuk tahu kita ini ikhlas atau tidak.

Hati kita belum benar-benar ikhlas jika ianya sakit bila budi yang kita buat dilupai. Hati kita belum benar-benar ikhlas jika ianya geram saat kebajikan kita dibalas kejahatan.

Bila seseorang itu lupa kebaikan yang dibuatnya pada orang lain. Bila hati orang itu tidak terasa apa-apa, tidak kesal bila madu dibalas dengan tuba. Itulah tanda hati kita ikhlas.

Periksa sendiri apa rasa hati dan perasaan kita bila kebaikan kita tidak dikenang dan bila kita dibalas jahat atas setiap baik yang kita buat.

Manusia selalu menganggap kebaikan yang dibuatnya adalah dari dia dan untuk dia. Dia menganggap kebaikan yang dibuat kerana kemurahan hatinya dan kebaikan itu mesti kembali pada dirinya. Kembali dengan cara…

Mesti mengucapkan terima kasih padanya.
Kenangkan apa yang dia buat.
Sebar-sebarkan cerita kebajikan yang dia buat pada orang lain.
Jangan tolak bila dia minta berbuat sesuatu.
Dan sebagainya.
Kebaikan kita pada orang sebenarnya adalah dari Allah. Allah telah menjadikan kita sebagai ‘saluran’ untuk Allah menyampaikan nikmat-Nya kepada manusia.

Sebagaimana Allah telah melantik Nabi dan Rasul sebagai wakil-Nya untuk menyampaikan ajaran-Nya. Begitulah Allah telah ‘melantik’ kita sebagai ‘wakil’ untuk menyebar nikmat kurniaan-Nya kepada manusia lain. #Jangan salah faham dengan maksud penerangan ini dan jangan jadikan ayat ini sebagai ayat kontroversi#

Maka kita tidak sepatutnya berbangga dengan kebaikan yang kita buat. Kita hanya melaksanakan amanah untuk mengagih-agihkan nikmat Allah kepada sesama manusia. Kita sepatutnya bersyukur kerana Allah telah mengagihkan nikmat-Nya melalui kita.

KESIMPULAN:

Memang susah Nak menjaga hati kaitan ikhlas ini.. Namun kita boleh merasakan ikhlas bilamana setiap kebaikan yang kita lakukan kita anggap saya sedang buat kebaikan kerana Allah bukan kerana manusia. Ikutlah apa orang Nak kata pun, apa yang penting kerjasama bersama Allah, INSYAA Allah ikhlas. Okay semua? AURA

No comments:

Post a Comment