Monday, March 3, 2014

KISAH UWAIS AL-QORNI


Uwais Al-Qorni seorang yang miskin dari negeri Yaman. Beliau tidak dikenali oleh penduduk-penduduk Yaman, bahkan ada yang mentertawakannya, mempermainkan hatinya menerima celaan serta turut dituduh pencuri kerana kemiskinannya. Pernah suatu hari, seorang fuqoha’ negeri Kufah datang dan duduk bersamanya dan diberikan kepada Uwais 2 helai pakaian sebagai hadiah, Uwais seraya menolaknya dengan mengatakan “Aku khuatir, nanti orang akan menuduh aku dari mana aku memperoleh pakaian ini? Sudah pasti mereka akan menuduh aku mencuri”.
Uwais seorang anak yatim, tinggal bersama ibunya yang telah uzur, lumpuh badannya dan beliau tidak mempunyai adik beradik. Uwais bekerja sebagai pengembala kambing, dan upahnya cukup-cukup untuk menampung dirinya dan ibunya. Jika ada wang berlebihan, beliau akan memberikan kepada tetangganya yang miskin. Uwais memeluk Islam ketika seruan Rasulullah tiba di Yaman. Apabila seruan Islam tiba di Yaman, beliau terus memeluknya kerana Uwais sangat merindukan datangnya kebenaran. Banyak tetangganya yang memeluk Islam pergi ke Madinah untuk mendengar ajaran Nabi Muhammad s.a.w secara langsung. Sekembalinya dari Yaman, mereka akan memperbaharui keluarga mereka dengan cara hidup Islam.
Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat tetangganya tiba daripada Madinah, mereka telah bertemu kekasih Allah, penghulu para nabi, sedangkan Uwais masih belum berkesempatan. Kecintaannya pada Rasulullah sangat dalam untuk menemui baginda tetapi apakan daya, dirinya belum mempunyai bekal yang cukup. Dirinya juga perlu menjaga dan merawat ibunya yang uzur serta lumpuh. Hari berganti hari, rindunya pada Rasulullah tidak dapat dibendung lagi. Uwais merenungkan dalam diri dan bertanya pada hatinya “Bilakah dia dapat bertemu dengan Nabi nya dan memandang wajah baginda dengan dekat?”..
Akhirnya pada suatu hari, Uwais menemui ibunya dan menyatakan hasratnya untuk bertemu Rasulullah s.a.w. . Ibunya terharu dan sangat memahami hati nurani anaknya yang bercita-cita menemui Rasulullah. Ibunya berkata “Pergilah wahai anakku, temui Nabi di rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang”. Dengan rasa gembira, segeralah Uwais berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa menyediakan keperluan ibunya sepanjang perninggalannya dan memohon tetangganya agar dapat menemani ibunya sepanjang beliau pergi. Keadaan gurun padang pasir yang panas di siangnya dan dingin dimalamnya, serta dirinya terdedah kepada penyamun tidak melemahnya semangat Uwais untuk melihat wajah Rasulullah di Madinah sepuas-puasnya. Jarak Yaman dan Madinah kira-kira 400km.
Akhirya tibalah Uwais di Madinah. Segera beliau menuju ke rumah Nabi s.a.w, diketuknya pintu dan memberi salam. Keluarlah sayyidatina Aisyah r.a., sambil menjawab salam Uwais. Uwais menanyakan nabi yang ingin dijumpainya. Namun baginda s.a.w tiada dan berada di medan peperangan.
Didalam hatinya tetap ingin menunggu kepulangan Nabi s.a.w . Beliau menunggu di hadapan rumah Nabi. Dari pagi hingga ke tengah hari, dari tengah hari hingga hampir petang. Di saat menunggu itu, terngiang- ngiang di telinga Uwais pesan ibunya yang uzur agar segera pulang ke Yaman setelah berjumpa Nabi s.a.w. Didalam hatinya berbelah bagi, adakah ingin terus menunggu nabi atau pulang kerumah. Sangat jauh perjalanan Yaman ke Madinah… Akhirnya kerana ketaatan Uwais kepada ibunya, Uwais memaklumkan kepada sayyidatina Aisyah r.a untuk pergi kerana beliau perlu segera pulang ke Yaman. Uwais menitipkan salamnya kepada Rasulullah s.a.w melalui Aisyah dan melangkah pulang dengan perasaan yang haru..
Sepulangnya baginda s.a.w dari medan peperangan, segera baginda menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi s.a.w menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit. Mendengar perkataan baginda, sayyidatina Aisyah dan para sahabatnya terpegun. Menurut Aisyah, memang benar ada orang mencari Nabi sepeninggalan Nabi. Beliau terpaksa segera pulang ke Yaman kerana ibunya sudah tua, uzur dan tidak dapat meninggalkan ibunya dengan masa yang lama.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah tapak tangannya.” Kemudian baginda memandang kearah sayyidina Ali dan sayyidina Umar dan bersabda, “Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengannya, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langi dan bukan penghuni bumi”.
Tahun terus berlalu dan Nabi s.a.w pun wafat. Sehinggalah saat Khalifah Umar Al Khattab, beliau teringat akan sabda Nabi s.a.w berkenaan Uwais al-Qarni. Beliau segera mengingatkan kepada sayyidina Ali untuk mencarinya bersama. Sejak itu, setiap kali terdapat kafilah dagang dari Yaman, mereka akan bertanya perihal Uwais al-Qarni. Bagi penduduk Yaman, Uwais seorang yang tidak terkenal, bahkan hanya dikenali seorang yang miskin. Kafilah-kafilah itu berasa hairan, apa sebenarnya terjadi sehingga Uwais dicari oleh Khalifah. Hari berganti hari, rombongan kafilah dagang silih berganti. Melihat kafilah dari Yaman, sayyidina Umar dan Ali mendatangi mereka dan menanyakan adakah Uwais al-Qarni turut serta didalam kafilah tersebut. Rombongan itu memaklumkan bahawa ada seorang bernama Uwais sedang menjaga unta-unta di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, segera mereka berdua bergegas tempat Uwais berada. Sesampainya di sana, mereka berdua memberi salam. Namun Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam mereka sambil bersalaman. Sewaktu bersalaman, segera Khalifah Umar membalikkan tangan Uwais untuk membuktikan tanda putih yang berada di telapak tangannya.
Benar seperti sabda Nabi s.a.w !, dialah penghuni langit. Dan ditanya oleh khalifah, siapakah nama saudara? Uwais menjawab “Abdullah”. Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan mengatakan “kami juga Abdullah, yakni hamba Allah”. Tetapi siapakah nama kamu yang sebenarnya? Uwais kemudian berkata, “Nama saya Uwais al-Qarni”. Melalui perbicaraan mereka, tahulah bahawa ibu Uwais telah meninggal dunia. Sebab itulah Uwais dapat menyertai rombongan kafilah dagang saat itu.
Kemudian Khalifah Umar dan Ali memohon agar Uwais berkenan untuk mendoakan mereka. Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah, ” Sayalah sepatutnya meminta doa daripada kalian”. Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata, “Kami datang kesini adalah untuk memohon doa dan istighfar daripada anda”. Kerana desakan kedua sahabat Nabi ini, Uwais akhirnya mengangkat kedua tangannya serta berdoa dan membacakan istighfar. Setelah itu khalifah Umar berjanji akan menyumbangkan wang negara daripada baitulmal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais menolak dengan halus dengan berkata ” Hamba mohon agar hari ini sahaja hamba dikenali orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.
Sehingga saat itu, nama Uwais tenggelam. Beliau tidak dikenali. Namun terdapat banyak riwayat yang menceritakan perihal Uwais al-Qarni. Sehinggalah saat meninggalnya Uwais, terjadi perkara yang menghairankan. Kelihatan ramai orang yang tidak dikenali datang menguruskan jenazah Uwais. Sehinggalah menggali kuburnya, segalanya telah disiapkan oleh mereka yang tidak dikenali. Penduduk Yaman tercengang, ” Siapakah engkau wahai Uwais? Uwais yang kami kenali hanyalah seorang yang fakir, pengembala kambing dan unta, tetapi pada hari wafatmu, kamu telah menggemparkan penduduk Yaman dengan dipenuhi kehadiran orang-orang yang kami tidak kenali”.
Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, bahawa Uwais al-Qarni adalah penghuni langit, bukan penghuni dunia..beliau tidak terkenal didunia tetapi sangat dikenali penghuni langit (malaikat)…
Maha Suci Allah…begitulah sahabat-sahabat, sekalipun kita langsung tidak dikenali oleh penduduk dunia, biarlah diri kita dikenali oleh penduduk langit sebagai seorang yang hebat dan tinggi taqwanya….
Wallahualam….

No comments:

Post a Comment