Saturday, December 26, 2015

TIADA YANG LEBIH MENCINTAI DIRI KITA LEBIH DARIPADA CINTANYA BAGINDA RASULULLAH ﷺ

TIADA YANG LEBIH MENCINTAI DIRI KITA LEBIH DARIPADA CINTANYA BAGINDA RASULULLAH ﷺ KEPADA DIRI KITA INI UMMAT. MARILAH KITA TANYAKAN KEPADA DIRI KITA MASING-MASING. BAGAIMANAKAH KECINTAAN KITA KEPADA BAGINDA RASULULLAH ﷺ? BAGAIMANAKAH KEPENTINGAN RASULULLAH DI DALAM HATI KITA?

GAMBARAN SEJAUH MANA BENAR CINTA KITA KEPADA NABI MUHAMMAD ﷺ DAN  BETAPA KITA BENAR-BENAR PENTINGKAN BAGINDA ﷺ DALAM KEHIDUPAN KITA ADALAH BERGANTUNG SEJAUH MANA  GAMBARAN KITA MENDAHULUKAN AKAN SUNNAH DAN BAGAIMANA KITA INI NAK TAHU BAGAIMANA BAGINDA RASULULLAH ﷺ MELAKUKAN

JUNJUNGLAH, BESARKANLAH DAN IKUTILAH AKAN SUNNAH BAGINDA RASULULLAH ﷺ DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN KITA DENGAN KITA MENGAMALKAN SUNNAH-SUNNAH BAGINDA RASULULLAH ﷺ DI DALAM SETIAP RUTIN HARIAN KITA SETIAP HARI BERMULA DARI KITA BANGUN TIDUR SAMPAI KITA NAK KEMBALI TIDUR

Kita kalau ditimpa musibah, diberikan ujian oleh Allah  سبحانه  وتعالى baik itu berupa kesusahan, kesempitan, kesakitan, kehilangan sesuatu yang kita sayangi dan sebagainya. Macam-macam ucapan yang mungkin keluar daripada lisan kita ini yang tak tahan dengan ujian yang diberikan oleh Allah sampai ada yang menyalahkan takdir. Yang akhirnya mungkin membuatkan diri kita lupa dan semakin jauh daripada Allah سبحانه  وتعالى dan Nabi Muhammad ﷺ.

Akan tetapi kalau nak dibandingkan ujian, musibah, kesusahan, kesakitan yang kita hadapi dalam hidup kita ini berbanding dengan apa yang dilalui oleh Baginda Rasulullah ﷺ. Allah!! Itu hanya sedikit sekali. Para Nabi ini kalau sakit lebih berganda-ganda daripada orang biasa. Baginda Rasulullah ﷺ yang diperlakukan oleh kaumnya dicaci-maki, dituduh Baginda Rasulullah ﷺ , disakiti Baginda Rasulullah ﷺ.

Nabi ﷺ pernah suatu ketika balik ke rumahnya dalam keadaan dipenuhi dengan kotoran sampah dan debu sehingga masuk ke dalam rumah dibersihkan oleh Saidatina Fatimah Radhiyallahu'Anha. Ketika mana membersihkan kotoran itu maka menitis airmata Saidatina Fatimah menangis tak tahan apa yang diperlihat.

Setiap hari Nabi ﷺ keluar berdakwah balik dalam keadaan seperti itu.Bayangkan setiap hari Nabi ﷺ sebelum keluar rumah dalam keadaan baik, elok, kemas, bersih tapi balik rumah sahaja dalam keadaan kotor, berdebu.

Sehingga tiap kali dibersihkan oleh Saidatina Fatimah Radhiyallahu'Anha  sampai menangis menitis airmata beliau maka kata Baginda Rasulullah ﷺ " Wahai Puteriku Fatimah!! Janganlah engkau menangis. Yakinlah kamu bahawa suatu hari nanti Agama yang dibawa oleh ayahmu ini tidak ada suatu rumah pun yang diperbuat daripada kayu ataupun batu kecuali akan dimasuki oleh Agama yang dibawa oleh ayahmu ini." Kata Baginda Rasulullah ﷺ.

Nabi ﷺ melalui kesukaran dan kesusahan seperti itu tapi Nabi ﷺ mempunyai harapan yang begitu tinggi kepada Allah سبحانه  وتعالى untuk Agama yang suci dan memberikan hidayah kepada semua orang. Bayangkan kalau kita kena seperti itu, diperlakukan macam itu setiap hari. Apa perasaan kita? Bagaimanakah keadaan diri kita?

Taubat mesti kita tak berani nak keluar rumah punya dan mungkin bermacam-macam perkataan yang keluar daripada lisan kita ini. Akan tetapi Nabi ﷺ tidak seperti kita ini. Walaupun Baginda Rasulullah ﷺ sering disakiti, sering difitnah, dilemparkan dengan pelbagai-bagai macam tuduhan seperti ahli sihir dan sebagainya. Baginda Rasulullah ﷺ tetap tidak berputus asa dan tidak pula memarahi, menyakiti dan membalas kembali kepada mereka dengan perbuatan dan kata-kata yang buruk.

Bahkan semakin Nabi ﷺ disakiti, dikasari oleh orang ramai maka semakin Nabi ﷺ menyayangi dan berlembut kepada mereka. Allah!! Bezanya Baginda Rasulullah ﷺ dengan kita ini sebab apa? Sebab Baginda Rasulullah ﷺ cinta kepada kita lebih daripada kita cinta kepada Nabi ﷺ. Nabi ﷺ cinta kepada kita lebih kita cinta kepada diri kita sendiri. Itu yang kita kena ketahui dan sedar.

Demikian dalam setiap rutin harian kita. Nabi ﷺ ajarkan kepada kita dengan sunnah-sunnah Baginda Rasulullah ﷺ untuk kita ini ada jalinan hubungan dengan Baginda Rasulullah ﷺ. Bermakna hubungan dengan Allah سبحانه  وتعالى. Demikian maksudnya menjalinkan hubungan dengan Nabi ﷺ bermakna kita menjalinkan hubungan dengan Allah   سبحانه  وتعالى.

Akan tetapi soalannya dalam rutin harian kita buat setiap hari itu bermula dari kita bangun daripada tidur sampailah kita nak kembali tidur. Ada tak kita buat sunnah Nabi Muhammad ﷺ?

Bermula dari kita bangun tidur. Ada tak kita mulakan dengan baca doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah ﷺ? Kita masuk tandas kaki mana satukah yang kita dahulukan yang kita langkahkan terlebih dahulu? Kita ada baca doa tak sebelum kita nak masuk ke dalam tandas dan selepas kita keluar daripada tandas? Bila kita pakai baju ada tak kita baca doa sepertimana yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah ﷺ kepada kita? Kita tengok cermin baca tak doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah ﷺ?

Sayangnya Baginda Rasulullah ﷺ kepada kita Ummat ini sampai tiada satu perkara pun yang tidak diajarkan oleh Nabi ﷺ sehingga terdapatnya versi doa-doa yang panjang sampailah doa yang paling pendek dan mudah sekali yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah ﷺ untuk kita ini Ummat Baginda Rasulullah ﷺ untuk diamalkan.

Alangkah ruginya hidup kita ini kalau setiap hari bermula dari kita bangun daripada tidur sampailah kita kembali nak tidur kita tidak menghidupkan, tidak mengamalkan akan sunnah-sunnah Baginda Rasulullah ﷺ. Setiap sunnah yang kita hidupkan di dalam kehidupan kita ini baik itu sekecil apa pun sunnah Baginda Rasulullah ﷺ.

Ketahuilah ianya akan memberikan cahaya kepada diri kita ini, yang akan menerangi kepada hati kita ini, yang akan menambahkan kecintaan kita kepada Baginda Rasulullah ﷺ sehingga ianya nanti yang akan menyelamatkan kita di Alam Barzakh dan di Yaumul Qiyamah kelak.

Akan tetapi ruginya kita kalau kita tidak mendapatkan cahaya itu sehingga hati kita ini jauh daripada mengenal kepada Baginda Rasulullah ﷺ, jauh daripada sunnah-sunah Baginda Rasulullah ﷺ.

Sebab itu ada orang tanya " Kenapalah susah sangat kita ini nak buat sunnah Nabi ﷺ yang besar-besar seperti yang namanya solat subuh berjemaah, puasa sunat, sunnah Nabi ﷺ yang agung iaitu bangun di waktu malam beribadah di saat orang ramai sedang sedap tidur di atas tilamnya yang empuk?"

Kenapa susah sangat kita nak buat sunnah-sunnah ini? Sebab kita punya rutin harian pun kita tak mampu nak buat sunnah Baginda Rasulullah ﷺ sedangkan ianya tidak menuntut pun waktu, ianya tidak pun membuang waktu kita, ianya tak ambil pun daripada kita punya tenaga. Tak!! Tak akanlah bangun tidur pun untuk kita ucapkan " Alhamdullilahil ladzii ahyaanaa ba'da maa amatanaa wailaihii nusyuur". Itu memerlukan tenaga yang banyak? Itu sambil-sambil saja.

Bahkan tak akanlah tatkala kita nak keluar rumah dengan kita melangkah kaki kita tadi ini untuk baca " Bismillahi tawakkaltu'allah wa la hawla wa laa quwwata illaa billahi ". Itu menuntut waktu dan tenaga yang banyak? Tak ada!! Tatkala kita ingin naik kenderaan itu untuk kita membaca " Bismillah. Allahuakbar!! Allahuakbar!! Allahuakbar!! Subhaanal ladzii sakhkhara lanaa haadzaa wa maa kunnaa lahuu muqriniina wa innaa ilaa rabbina lamunqalibuuna." Itu juga membuang masa kita ketika kita di dalam kereta?

Kita sanggup panaskan enjin kereta kita takut kereta kita rosak, takut kereta kita kenderaan kita nanti tak tahan lama tapi untuk kita nak membaca doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullahﷺ, sunnah Baginda Rasulullah ﷺ Allah!! Itu tak ada masa. Sebab apa? Sebab kita sayang kereta lebih daripada kita sayang sunnah Baginda Rasulullah ﷺ.

Itu yang kita sebutkan ini sayang mana ini? Kalau betul kita sayangkan sunnah Baginda Rasulullah ﷺ dahulukan sunnah-sunnah Baginda Rasulullah ﷺ daripada segala-galanya, ditinggikan. Sekurang-kurangnya dengan kita memperbanyakkan selawat kepada  Baginda Rasulullah ﷺ dalam segala amal pergerakan kita selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Ataupun Nabi ﷺ mengatakan di dalam hadis yang lain " Baca bismillah di dalam amal-amal baikmu." Kenapa susah sangat kita nak melakukan sesuatu itu dengan dimulakan dengan ucapan bismillah ataupun selawat kepada Baginda Rasulullah ﷺ sebab sayang tadi ini sebab cinta tadi ini.

Macam mana kita nak letakkan sesuatu itu adalah priority yang paling tinggi kedudukannya kalau kita tak sayang, tak pentingkan. Oleh itu gambaran bagaimana jauhnya kecintaan kita dan bagaimana kita pentingkan kepada Baginda Rasulullah ﷺ itu adalah bergantung sejauh mana gambaran bagaimana kita mendahulukan akan sunnah dan gambaran bagaimana kita ini nak tahu Nabi ﷺ melakukan.

Demikian gambaran kecintaan dan kepentingan Nabi Muhammad ﷺ di dalam kehidupan kita. Nabi ﷺ sangat pentingkan hidup kita. Percaya  atau tidak? Kalaulah tak mana mungkin Nabi ﷺ mengajarkan semua perkara kepada kita sebab Nabi ﷺ pentingkan betul kepada kita, Nabi ﷺ sayang betul-betul kepada kehidupan kita.

Sebab itu disebutkan Nabi ﷺ ini sayang kita lebih daripada kita ini menyayangi diri kita.Nabi inilah yang menyayangi kepada kamu wahai Ummat, Nabi inilah yang sebenarnya dalam keadaan sukar dan susah kehidupannya demi kerana Ummat, Nabi inilah yang berpanas yang berpeluh kerana Ummatnya, Nabi inilah yang berdarah kerana Ummatnya.

Nabi inilah yang disebutkan Nabi yang menyayangi kepada kita lebih daripada kita menyayangi kepada diri kita sendiri, Nabi inilah yang menyayangi kita lebih daripada ibu bapa kita menyayangi kepada diri kita sendiri. Akan tetapi tanyakan persoalan ini kepada diri kita masing-masing. " Sejauh manakah kita sayang kepada Baginda Rasulullah ﷺ? Bagaimana cinta kita kepada Baginda Rasulullah ﷺ?"

Ketahuilah sekuat mana azam kita itu untuk mengamalkan sunnah-sunnah Baginda Rasulullah ﷺ itu bergantung sekuat mana cinta kita kepada Nabi ﷺ. Sekuat mana azam dan keinginan kita untuk buat nak ikut kepada Nabi ﷺ adalah bergantung bagaimana kita betul-betul mementingkan Baginda Rasulullah ﷺ.

Itulah yang sebenarnya yang kita lihat yang ada pada Para Sahabat Radhiyallahu'Anhum Ajmain. Cinta mereka mendepankan kepada Nabi ﷺ, mendahulukan Nabi ﷺ dalam semua hal. Bermakna itulah generasi yang terbaik yang dikatakan oleh Baginda Rasulullah ﷺ.

Kita nak jadi jadi generasi yang terbaik, kita nak jadi Ummat yang terbaik, kita nak menjadi Ummat yang menjunjung sunnah Nabi Muhammad ﷺ maka hidupkan sunnah itu di dalam kehidupan kita ini, hidupkan sunnah itu di dalam rutin harian kita, hidupkan sunnah itu pada anggota badan yang kita miliki ini,  hidupkan sunnah Baginda Rasulullah ﷺ di dalam ucapan selawat kita kepada Baginda Rasulullah ﷺ, hidupkan sunnah Baginda Rasulullah ﷺ dengan kehadiran kita di dalam majlis-majlis seumpama ini (majlis ilmu, majlis zikir, majlis selawat).

Hidupkan, suburkan dan janganlah kita menjadi orang yang bakhil. Ketika nama Nabi Muhammad ﷺ disebutkan kita tidak berselawat kepada Baginda Rasulullah ﷺ dan jadilah orang-orang yang juga menjadi duta kepada sunnah dan sejarah akhlak Baginda Rasulullah ﷺ untuk menceritakan kepada orang lain.

#MutiaraKata[AL-HABIB NAJMUDDIN OTHMAN AL-KHERED HAFIDZOHULLAH]


SEMOGA KITA MENJADI ORANG-ORANG YANG SUKA MENDENGAR KATA-KATA NASIHAT PARA ULAMA, MENDAPATKAN ILMU DARIPADA PARA ULAMA, DUDUK DI DALAM MAJLISNYA PARA ULAMA DAN MENGAMALKAN APA YANG KITA DENGARKAN YANG KITA PEROLEHI DARIPADA ILMU YANG DISAMPAIKAN

SETERUSNYA KITA MENYAMPAIKAN KEPADA YANG LAINNYA DENGAN HARAPAN MUDAH-MUDAHAN KITA MENJADI ORANG-ORANG YANG MENJADI ASBAB KEBAIKAN DAN TURUNNYA HIDAYAH DARIPADA ALLAH TA'ALA KEPADA MASYARAKAT SEKELILING KITA.

#JomKitaMuhasabahDiri
#JomKitaZahirkanRasaCintaKitaKepadaBagindaRasulullahDenganKitaMengamalkanMenjunjungSunnahBaginda
#JomKitaBerzikirDanBerselawat
#JomKitaMengimarahkanRumahAllah
#JomKitaSolatBerjemaah
#JomKitaMenghadiriMajlisIlmu
#MendekatkanDiriKepadaParaUlamaDanSolihin
#DudukBersamaParaUlamaDanOrangOrangSoleh
#MengambilIlmuSecaraBersanadBertalaqqiMendapatkanIlmuYangBarokahYangBermanfaat
#MembersihkanHatiYangBerpenyakit
#MaafAdaPenambahanPenguranganPerubahanDanKesilapanAyatDalamPenulisan
#SalingIngatMengingatkan
#SemogaMendatangkanManfaatBuatDiriSayaDanSemuaYangMembacanya

No comments:

Post a Comment